8 CONTOH ULASAN TERBAIK SEKOLAH RENDAH
Hi!
Hari ini saya akan berkongsi tentang ulasan.
Mari kita mulakan.
ULASAN TENTANG KEMPEN JIMAT PENGGUNAAN ELEKTRIK.
Gambar menunjukkan poster tentang kempen jimat penggunaan elektrik. Terdapat pelbagai cara untuk menjimatkan elektrik.
Salah satu cara untuk menjimatkan elektrik adalah dengan menutup suis kipas dan lampu jika tidak digunakan. Langkah ini dapat menjimatkan penggunaan elektrik. Selain itu, kita juga boleh membuka tingkap untuk mendapat cahaya yang terang dari luar. Aktiviti ini dapat dilakukan hanya pada waktu siang kerana adanya cahaya matahari. Hal imi dapat mengurangkan kebergantungan kepada elektrik. Akhir sekali, kita perlu kurangkan penggunaan kipas dan penyaman udara dengan membuka tingkap untuk mendapat udara di luar. Udara dari luar lebih segar daripada udara yang dihasilkan oleh kipas dan penyaman udara. Penggunaan penyaman udara dapat meningkatkan bil elektrik. Hal ini akan membebankan pengguna penyaman udara.
Kesimpulannya, terdapat banyak cara untuk menjimatkan elektrik.
ULASAN TENTANG PERADUAN MELUKIS.
Pengumuman menunjukkan tentang peraduan melukis.
Peraduan melukis ini diadakan sempena meraikan Hari Kanak-kanak Sedunia pada 20 November setiap tahun. Peraduan ini terbuka kepada murid-murid tahun empat, lima dan enam. Antara syarat-syarat yang perlu diikuti ialah lukisan mestilah berdasarkan tajuk gotong-royong dan Hari Kebangsaan. Tajuk ini dipilih kerana murid lebih mudah untuk melukis berdasarkan tajuk ini. Selain itu, lukisan boleh dibuat dengan pensel warna, warna air dan sebagainya. Semua peserta juga perlu mencatatkan nama, tarikh lahir dan alamat sekolah di belakang lukisan untuk memudahkan urusan penyampaian hadiah. Seterusnya, pengesahan hendaklah dibuat oleh guru besar sekolah untuk mewakili sekolah. Semua pemenang akan mendapat hadiah wang tunai dan buku cerita. Pemenang diberikan buku cerita bagi menggalakkan amalan membaca. Semua lukisan mesti dihantar kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada 9 Julai 2021.
Akhir kata, terdapat banyak maklumat tentang peraduan melukis ini.
ULASAN TENTANG JADUAL MARKAH PEPERIKSAAN.
Jadual menunjukkan markah peperiksaan yang diperoleh Aimin.
Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Aimin berjaya mengubah grednya daripada gred B kepada gred A. Kejayaan ini dapat diperoleh kerana Aimin rajin membuat ulangkaji sekiranya mempunyai masa terluang. Bagi mata pelajaran Matematik pula Aimin daoat mengekalkan gred A yang diperolehinya. Hal ini kerana Aimin membuat banyak latih tubi soalan-soalan matematik di rumah. Amin juga bertanya kepada guru sekiranya tidak memahami sesuatu topik. Akhir sekali, Aimin dapat meningkatkan 5 markah pada subjek Sains dan Sejarah pada semester kedua. Peningkatan ini berlaku adalah kerana Aimin telah membuat kumpulan belajar bersama rakan-rakannya.
Kesimpulannya, markah peperiksaan yang diperoleh Aimin semakin meningkat.
ULASAN TENTANG HARI KEUSAHAWANAN MUDA.
Poster menunjukkan Hari Keusahawanan Muda.
Hari Keusahawanan Muda ini dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Nipis. Tujuan karnival ini dianjurkan adalah untuk mengumpul dana PIBG sekolah. Tarikh yang diambil untuk mengadakan karnival ini ialah pada hari Sabtu, 27 Mei 2014 kerana kebanyakkan sekolah lain juga mengambil tarikh tersebut untuk melaksanakan Hari Usahawan. Karnival ini bermula pada jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang. Masa ini sesuai untuk melakukan aktiviti-aktiviti di sekolah. Terdapat pelbagai jualan yang akan dijalankan seperti jualan makanan, minuman, aiskrim dan buah-buahan. Selain itu, terdapat juga aktiviti menarik seperti permainan kereta lumba, pertandingan nyanyian dan pertandingan pakaian beragam. Pertandingan ini diadakan untuk menerapkan semangat berdaya saing secara sihat dalam kalangan murid-murid. Semua ibu dan bapa dijemput hadir bagi memeriahkan lagi karnival ini.
Akhir kata, terdapat pelbagai maklumat tentang Hari Keusahawanan Muda berdasarkan poster ini.
ULASAN TENTANG MOHD AZIZULHASNI AWANG.
Bahan grafik menunjukkan biografi Mohd Azizulhasni Bin Awang, jaguh dalam sukan lumba basikal.
Betis Mohd Azizulhasni Bin Awang pernah tertusuk serpihan kayu pada Siri Piala Dunia Klasik USI di Manchester, 2011 tetapi beliau tidak pernah berputus asa. Selain itu, beliau juga melelong sarung tangan yang dipakainya semasa Sukan Olimpik 2016 dan hasil lelongan itu didermakan kepada sebuah pusat pendidikan. Perwatakan beliau menunjukkan bahawa beliau seorang yang pemurah dan suka berbakti kepada masyarakat. Seterusnya, Mohd Azizulhasni Bin Awang juga digelar "The Pocket Rocketman" kerana bertubuh kecil dan mempunyai kayuhan yang mantap. Walaupun bertubuh kecil, beliau tetap bersemangat untuk bersaing dengan pesaing yang lain.
Kesimpulannya, semangat yang ada pada Mohd Azizulhasni Bin Awang wajar dicontohi oleh semua masyarakat.
ULASAN TENTANG GANGGUAN SEKSUAL.
Gangguan seksual merupakan perkara yang sering berlaku kepada remaja masa kini.
Antara punca gangguan seksual ialah mangsa memakai pakaian yang menggoda dan mudah terpedaya serta pengaruh bahan lucah. Hal ini akan menyebabkan seseorang itu mudah menjadi mangsa gangguan seksual. Oleh itu, langkah keselamatan yang perlu diambil agar diri kita terhindar daripada gangguan seksual ialah berhati-hati dengan orang yang mencurigakan, memakai pakaian sopan dan belajar seni mempertahankan diri. Cara ini dapat mengurangkan risiko kita daripada menjadi mangsa gangguan seksual. Walau bagaimanapun, sekiranya kita masih lagi diganggu, kita perlu membuat laporan kepada ibu bapa, pihak sekolah dan pihak polis. Mereka mungkin dapat mengambil tindakan dan menyelesaikan masalah sebegini.
Kesimpulannya, kita perlu menjaga diri sendiri dan berhati-hati setiap masa.
ULASAN TENTANG KESELAMATAN SEMASA BERIADAH DI AIR.
Bahan grafik menunjukkan tentang langkah-langkah keselamatan semasa beriadah di air.
Antara langkah keselamatan semasa beriadah di air ialah kita perlu mandi di kawasan yang selamat. Perkara ini kerana ia dapat menjamin keselamatan kita. Selain itu, kita juga perlu berhati-hati di kawasan yang berbatu. Hal ini kerana kawasan yang berbatu akan meningkatkan risiko untuk kita tercedera. Seterusnya, kita perlu menggunakan pelampung jika tidak tahu berenang kerana pelampung dapat membantu kita terapung di permukaan air. Akhir sekali, kita juga perlu mengetahui kedalaman kolam renang agar kita tidak lemas disebabkan berenang di kolam yang melebihi paras yang telah ditetapkan.
Akhir sekali, kita perlu mematuhi langkah-langkah keselamatan semasa beriadah di air bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
ULASAN TENTANG BUAH NAGA.
Buah naga sangat enak dan mempunyai banyak khasiatnya yang tersendiri.
Antara khasiat buah naga ialah buah naga mengandungi pelbagai vitamin seperti vitamin C, vitamin B1, vitamin B2 dan vitamin B3. Selain itu, buah naga juga dapat meningkatkan imuniti badan. Apabila imuniti badan ditingkatkan, kita akan sukar mendapat jangkitan penyakit. Seterusnya, buah naga juga dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Akhir sekali, buah naga mengandungi karbohidrat, gula dan lemak yang rendah. Ciri-ciri ini menjadikan buah naga sesuai untuk dimakan oleh pesakit diabetis.
Kesimpulannya, kita perlu makan buah-buahan seperti buah naga agar tubuh badan kita sihat.
Semoga info kali ini memberi manfaat kepada kita semua.
Sekiranya anda mendapati maklumat ini bermanfaat, sila tekan butang 3 garis di homepage dan ikuti blog ini.
Sekian, terima kasih.
ADAKAH ANDA RASA KITA PERLU MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU?
.png)

Ulasan
Catat Ulasan