5 CONTOH KARANGAN LAPORAN BESERTA FORMAT MENULIS LAPORAN DAN JENIS-JENIS LAPORAN
Hi!
Hari ini saya akan memberikan penerangan tentang laporan.
Mari kita mulakan dengan beberapa jenis laporan.
LAPORAN
Terdapat dua jenis laporan iaitu:
- Laporan aktiviti
Laporan aktiviti adalah seperti laporan perkhemahan, Hari Kantin dan lawatan.
- Laporan tahunan
Laporan tahunan adalah seperti aktiviti untuk setahun bagi sesebuah persatuan, kelab dan permainan.
FORMAT MENULIS KARANGAN LAPORAN
- TAJUK - Ditulis dengan huruf besar pada awal perkataan atau semua perkataan ditulis dengan huruf besar dan ditulis di bahagian tengah kertas kajang.
- PENDAHULUAN - Apa, bila, dimana, siapa.
- ISI 1 - Tujuan.
- ISI 2 - Aktiviti 1
- ISI 3 - Aktiviti 2
- ISI 4 - Aktiviti 3
- PENUTUP - Harapan
- DISEDIAKAN OLEH - tandatangan, nama (perlu huruf besar dan kurungan), jawatan perlu ditulis di sebelah kiri.
- TARIKH - Sama baris dengan perkataan "Disediakan oleh/ Laporan disediakan oleh," dan berada di sebelah kanan.
TOPIK LAPORAN YANG AKAN DIBINCANGKAN IALAH:
- LAPORAN MINGGU BAHASA MELAYU.
- LAPORAN AKTIVITI GOTONG-ROYONG.
- LAPORAN LAWATAN KE TAMAN NEGARA.
- LAPORAN HARI KANAK-KANAK.
- LAPORAN LAWATAN KE INSTITUT PENYELIDIKAN DAN KEMAJUAN PERTANIAN MALAYSIA (MARDI)
LAPORAN MINGGU BAHASA MELAYU.
Mari kita buat laporan berkenaan Minggu Bahasa Melayu.
MINGGU BAHASA MELAYU
Pada 27 Oktober 2017, Sekolah Kebangsaan Seri Pagi telah mengadakan Minggu Bahasa Melayu. Minggu Bahasa Melayu ini diadakan oleh Panitia Bahasa Melayu.
Tujuan Minggu Bahasa Melayu diadakan adalah untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu yang betul. Murid-murid yang berbangsa Cina dan India juga dapat mengukuhkan penggunaan Bahasa Melayu mereka. Seterusnya, perpaduan juga dapat dieratkan dengan adanya penganjuran Minggu Bahasa Melayu ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Noh Bin Murshidi, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pagi. Beliau memberi ucapan dan berpesan kepada semua warga sekolah agar menghargai dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Guru Besar juga telah merasmikan Minggu Bahasa Melayu ini.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah pertandingan bercerita, pertandingan berpidato, pertandingan perbahasan dan pertandingan berbalas pantun. Pertandingan bercerita dan pertandingan berpidato diadakan untuk murid tahap satu manakala bagi murid tahap dua pula telah diadakan pertandingan perbahasan dan pertandingan berbalas pantun.
Acara Penutupan Minggu Bahasa Melayu telah disempurnakan oleh guru besar. Penyampaian hadiah dan sijil daripada pihak sekolah juga telah diberikan kepada para pemenang.
Disediakan oleh, 3 November 2017
NURUL
(NURUL BINTI SUFIAN)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Seri Pagi.
LAPORAN AKTIVITI GOTONG-ROYONG.
Mari kita buat laporan berkenaan aktiviti gotong-royong.
AKTIVITI GOTONG-ROYONG SEKOLAH KEBANGSAAN TERATAI.
Pada 15 Mei 2018, Sekolah Kebangsaan Teratai telah mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti ini diuruskan oleh Kelab Alam Sekitar.
Tujuan utama aktiviti gotong-royong ini diadakan untuk membersihkan kawasan sekolah supaya murid-murid dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan bersih. Selain itu, aktiviti ini diadakan untuk mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes. Aktiviti ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan para guru dan ibu bapa.
Para guru, ibu bapa dan murid-murid telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan A ditugaskan untuk membersihkan kawasan dewan manakala kumpulan B ditugaskan untuk membersihkan kawasan sekitar sekolah dan tandas. Kumpulan C pula ditugaskan untuk membersihkan kelas murid-murid.
Aktiviti yang dilakukan adalah menebas, mencuci longkang, mengecat dan sebagainya. Semua ahli kumpulan memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakan aktiviti gotong-royong pada kali ini.
Sebelum bersurai, kami menikmati jamuan tengah hari yang telah disediakan. Ibu bapa dibenarkan membawa anak mereka pulang. Mereka semua pulang dengan gembira.
Disediakan oleh, 17 Mei 2018
SHAH
(SHAH BIN LOKMAN)
Setiausaha,
Kelab Alam Sekitar,
Sekolah Kebangsaan Teratai.
LAWATAN KE TAMAN NEGARA.
Mari kita buat laporan berkenaan lawatan ke Taman Negara Endau, Rompin.
LAWATAN KE TAMAN NEGARA ENDAU, ROMPIN.
Pada hari Sabtu, 20 Mei 2017, seramai 80 orang murid daripada Persatuan Bulan Sabit telah mengadakan lawatan ke Taman Negara Endau, Rompin.
Kami bertolak pada jam 8.00 pagi. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengenali alam semula jadi. Selain itu, murid juga didedahkan dengan maklumat berkenaan flora dan fauna di sana.
Tempat-tempat menarik yang kami lawati ialah hutan paya bakau dan taman bunga. Salah satu aktiviti yang dilakukan di sana ialah meredah jeram yang mempunyai arus yang deras.
Selain itu, kami mendaki bukit untuk menikmati keindahan alam. Kami juga meniti kanopi tertinggi dan terpanjang di Asia Tenggara. Kami semua berasa sungguh gembira.
Kami bertolak pulang pada keesokan harinya. Semua murid berasa gembira kerana mendapat sesuatu baharu di sana. Kami berharap pihak sekolah dapat mengadakan lawatan seumpama itu lagi pada masa akan datang.
Disediakan oleh, 1 Jun 2017
TANIA
(TANIA BINTI ABDULLAH)
Setiausaha,
Persatuan Bulan Sabit Merah,
Sekolah Kebangsaan Kampung Hijau.
LAPORAN HARI KANAK-KANAK.
Mari kita buat laporan berkenaan Hari Kanak-kanak.
LAPORAN HARI KANAK-KANAK SEKOLAH KEBANGSAAN KAMPUNG BARU.
Pada 9 Oktober 2017, Sekolah Kebangsaan Kampung Baru telah mengadakan sambutan Hari Kanak-kanak. Majlis bertujuan untuk menghargai dan meraikan kanak-kanak iaitu para pelajar di sekolah ini. Aktiviti dijalankan di dewan besar dan padang sekolah.
Pada jam 8.00 pagi, semua murid berkumpul di dewan besar. Wakil murid, Muhammad Ammar Amirul telah menyampaikan ucapan terima kasih terhadap pengorbanan para guru demi mengajar anak murid mereka yang tersayang. Manakala, Tuan Guru Besar pula mengucapkan tahniah kerana para pelajar telah menjadi murid yang baik.
Selepas majlis itu, semua murid dan guru berkumpul di padang untuk aktiviti sukaneka. Antara aktiviti yang dijalankan adalah lari dalam guni, meniup belon, dan bermain bola sepak. Aktiviti-aktiviti tersebut telah mewujudkan kemesraan antara murid dan guru.
Pada jam 10.30 pagi, murid-murid berehat di kantin sekolah. Guru memberikan sepotong aiskrim untuk setiap murid. Terdapat juga sesetengah kelas yang mengadakan jamuan di dalam kelas masing-masing.
Pada jam 11.00 pagi, semua murid dan guru berkumpul sekali lagi di dewan besar bagi melihat persembahan. Antara persembahan yang ditayangkan ialah persembahan kebudayaan berupa tarian Melayu, dikir bara, dan pembacaan sajak daripada murid yang berbakat. Setiap kali selesai sesuatu persembahan, para guru dan murid bertepuk tangan.
Sambutan Hari Kanak-kanak berakhir jam 12.30 tengah hari. Selepas majlis selesai, kami bersalaman dengan semua guru. Pada keseluruhannya, sambutan Hari Kanak-kanak pada tahun ini amat meriah.
Disediakan oleh, 13 Oktober 2017
HASSIM
(HASSIM BIN SALLEH)
Ketua Pengawas,
Sekolah Kebangsaan Kampung Baru.
LAWATAN KE INSTITUT PENYELIDIKAN DAN KEMAJUAN PERTANIAN MALAYSIA (MARDI).
Mari kita buat laporan berkenaan lawatan ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
LAWATAN KE INSTITUT PENYELIDIKAN DAN KEMAJUAN PERTANIAN MALAYSIA (MARDI)
Pada 29 Mei 2018, Persatuan Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Taman Kenanga telah pergi ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) seramai 40 orang murid dan empat orang guru pengiring.
Tujuan kami ke sana untuk melihat proses semaian di MARDI. Sebelum bertolak ke sana, kami diberi beberapa taklimat oleh salah seorang guru pengiring iaitu Cikgu Ahmad Rusli. Kami dinasihati agar jangan memetik tanaman semasa di sana.
Kami tiba di sana pada pukul 10.30 pagi. Setelah kami sampai, kami melawati galeri pameran yang disediakan. Kami mendapat banyak informasi seperti jenis tumbuh-tumbuhan yang ditanam di sana, cara proses semaian dan sebagainya.
Selepas itu, kami pergi ke kedai buku untuk membeli buku tentang tumbuhan, buah-buahan, sayur-sayuran, pokok dan lain-lain. Kami membeli buku ini kerana mahu mendapatkan lebih banyak informasi yang berfaedah.
Seterusnya, kami pergi ke kilang proses tapak semaian di sana. Pekerja-pekerja di sana menggunakan tenaga mesin untuk menyemai biji semaian yang hendak diuji.
Kami juga ke tapak semaian. MARDI mempunyai 195 ekar tanah untuk tapak semaian sahaja. Kami juga sempat cuba untuk menyemai biji benih cili mengikut langkah-langkah yang ditunjukkan oleh Encik Faizul, pegawai MARDI. Kami berharap agar dapat berkunjung ke sini lagi pada masa akan datang.
Disediakan oleh, 30 Mei 2018
RINA
(RINA BINTI MUSAAB)
Setiausaha,
Persatuan Alam Sekitar,
Sekolah Kebangsaan Taman Kenanga.
Semoga info ini memberi manfaat kepada anda semua.
Sekiranya anda mendapati maklumat ini bermanfaat, sila tekan butang 3 garis di homepage dan ikuti blog ini.
Sekian, terima kasih.
ADAKAH ANDA PERNAH MENDAPAT JAWATAN SEBAGAI SETIAUSAHA SEMASA DI SEKOLAH?



.png)
.png)
.png)
.png)
Ulasan
Catat Ulasan