TIPS MENULIS KARANGAN SYARAHAN DAN UCAPAN BESERTA CONTOH.
Hi!
Hari ini saya akan memberikan tips tentang karangan syarahan dan ucapan.
Mari kita mulakan dengan formatnya.
FORMAT SYARAHAN ATAU UCAPAN:
1) Kata alu-aluan (Pendahuluan).
- Pengerusi Majlis.
- Barisan hakim yang adil lagi bijaksana.
- Guru-guru.
- Hadirin sekalian.
2) Berikan definisi tajuk syarahan atau ucapan tersebut.
3) Panggilan hormat.
- Hadirin yang dihormati.
4) Idea dan huraian (3-4 Idea).
5) Penutup.
- Sekian terima kasih
TIPS.
Pada bahagian penutup boleh selitkan pantun seperti:
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
Mari kita lihat contoh-contoh karangan ini.
SYARAHAN TENTANG PUNCA-PUNCA KEMALANGAN JALAN RAYA.
Mari kita buat syarahan berkenaan kemalangan jalan raya.
Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Haji Ibrahim bin Jalaluddin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Kejora, Guru-guru Penolong Kanan, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan jam randiknya, guru-guru dan rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Pada pagi yang berbahagia ini saya ingin menyampaikan syarahan yang bertajuk "Punca-punca Kemalangan Jalan Raya".
Hadirin yang saya kasihi,
Kadar kemalangan jalan raya di negara kita saban hari kian meningkat. Kemalangan ini bukan sahaja mengakibatkan mangsa kerugian harta tetapi juga kehilangan nyawa.
Punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara kita adalah kerana sikap pengguna yang tidak mematuhi peraturan jalan raya. Antara sikap buruk pengguna jalan raya ialah amalan memandu melebihi had laju dan tidak memberikan tumpuan ketika memandu.
Keadaan jalan raya yang tidak elok juga merupakan punca berlakunya kemalangan. Keadaan jalan raya yang tidak lurus dan berlubang boleh mengakibatkan pemandu hilang kawalan terhadap kenderaan mereka.
Kini, bilangan kenderaan di jalan raya semakin meningkat. Semua pengguna ingin sampai ke destinasi yang hendak dituju dengan segera. Hal ini akan mengakibatkan jalan raya menjadi sesak dan lalu lintas semakin sibuk. Sudah pasti keadaan ini mengundang kemalangan jalan raya.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Kesimpulannya, sebagai pengguna jalan raya, kita haruslah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Penguatkuasaan undang-undang dan penyelenggaraan jalan daripada pihak kerajaan amat diperlukan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Hargai nyawa anda dan orang yang tersayang. Pandu cermat jiwa selamat.
Sekian, terima kasih.
SYARAHAN CARA-CARA BELAJAR YANG BERKESAN.
Mari kita buat syarahan berkenaan pembelajaran.
Terima kasih kepada pengerusi majlis. Yang dihormati, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Cara-cara Belajar yang Berkesan".
Hadirin yang dikasihi,
Salah satu cara belajar yang berkesan ialah dengan menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Hal ini akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri seoramg murid. Kita juga akan lebih memahami sesuatu pelajaran dengan mudah.
Selain itu, kita hendaklah bertanya kepada guru jika tidak memahami sesuatu topik yang telah diajar. Jika kita bertanya kepada guru, kita dapat mengelakkan diri daripada tertinggal sesuatu topik. Kita juga dapat menguasai sesuatu tajuk dengan lebih baik.
Cara seterusnya ialah kita boleh berlajar secara berkumpulan dan mengadakan banyak perbincangan dengan rakan-rakan. Perkongsian ilmu ini dapat menarik minat kita untuk belajar. Ini juga dapat memupuk semangat belajar kita.
Akhir sekali, kita hendaklah rajin membuat ulangkaji sama ada di sekolah mahupun di rumah. Kita boleh membuat ulangkaji secara individu atau berkumpulan. Kesannya kita boleh mengingati sesuatu perkara dengan cepat.
Kesimpulannya, kita perlu menggunakan teknik belajar ini dengan betul dan bersungguh-sungguh agar lita dapat melihat hasilnya nanti.
Sekian, terima kasih.
UCAPAN MEMENANGI TEMPAT PERTAMA DALAM PERTANDINGAN.
Mari kita buat syarahan berkenaan tajuk ini.
Terima kasih kepada Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Hadirin yang dimuliakan,
Saya sungguh terharu dengan majlis yang diadakan untuk saya. Terima kasih juga kepada semua yang menjayakan majlis meraikan kejayaan ini. Saya berasa sangat bersyukur.
Kejayaan saya ini merupakan hasil daripada bimbingan guru dan rakan sekelas yang sentiasa menyokong saya. Terima kasih diucapkan kepada ibu dan bapa saya yang menjadi tulang belakang saya. Saya akan berusaha lebih lagi bagi menghadapi pertandingan peringkat negeri pula.
Saya juga ingin mengingati para hadirin agar terus berusaha. Begitulah juga semasa menghadapi peperiksaan yang akan datang. Kejayaan boleh dicapai jika kita gigih berusaha.
Saya berharap saya akan memperoleh kejayaan dan dapat mengharumkan nama sekolah.
Sekian, terima kasih.
SYARAHAN TENTANG MASALAH PONTENG SEKOLAH.
Mari kita buat syarahan berkenaan ponteng sekolah.
Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru penolong kanan, para hakim, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Saya ingin menyampaikan syarahan berkaitan "Cara menangani masalah ponteng sekolah".
Hadirin yang dimuliakan,
Pihak ibu bapa perlu mengambil berat tentang kehadiran anak mereka ke sekolah. Contohnya, ibu bapa perlu memastikan anak masuk ke dalam kawasan sekolah. Kesannya, peratus kes ponteng sekolah dapat dikurangkan.
Selain itu, pihak sekolah perlu membuat pemantauan tentabg kehadiran murid ke sekolah. Contohnya, guru kelas hendaklah mencatat nama murid yang tidak hadir. Guru juga boleh membuat sesi khas bersama murid yang selalu tidak hadir ke sekolah.
Hadirin yang dikasihi,
Seterusnya, guru disiplin perlu mengambil tindakan ke atas murid-murid yang kerap ponteng sekolah. Contohnya, guru berkenaan boleh memberi amaran kepada murid-murid ini. Kesannya, murid-murid tidak akan mengulangi kesalahan mereka.
Akhir sekali, pihak sekolah perlu sentiasa berhubung dengan ibu bapa. Hal ini kerana pihak sekolah boleh berbincang dengan ibu bapa tentang perihal anak mereka.
Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk menangani masalah ponteng sekolah ini.
UCAPAN TENTANG PROGRAM RAKAN MUDA.
Mari kita buat syarahan berkenaan program rakan muda.
Terima kasih kepada Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar guru-guru dan rakan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Hadirin yang dimuliakan,
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah diberi kesempatan untuk berucap dalam majlis ini. Program Rakan Muda amat besar impaknya kepada kita semua.
Program Rakan Muda ini melibatkan aktiviti berkumpulan. Program ini juga melibatkan aktiviti beriadah bersama rakan-rakan yang lain. Program ini diadakan untuk membantu rakan-rakan kita yang mengalami masalah dalam kehidupan mereka.
Kita juga dapat belajar tentang seni pertahanan diri apabila menyertai program ini. Antara seni pertahanan diri yang diajar ialah taekwondo, silat dan kung fu. Seni ini dapat membantu kita ketika berlakunya kecemasan sewaktu kita berseorangan.
Aktiviti ini mengajar kita tentang cara untuk mengisi masa lapang. Kita perlu mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah. Antara aktiviti yang berfaedah ialah membaca buku, membuat ulangkaji pelajaran dan banyak lagi.
Saya berharap Program Rakan Muda mendapat lebih banyak sambutan dalam kalangan anak-anak muda pada tahun ini.
Sekian, terima kasih.
Semoga info kali ini memberi manfaat kepada kita semua.
Sekiranya anda mendapati maklumat ini bermanfaat, sila tekan butang 3 garis di homepage dan ikuti blog ini.
Sekian, terima kasih.
ADAKAH ANDA PERNAH MEMBUAT UCAPAN DI ATAS PENTAS? KONGSIKAN PENGALAMAN ANDA DI RUANG KOMEN!







Ulasan
Catat Ulasan