7 KOLEKSI CONTOH KARANGAN FAKTA BAGI MURID SEKOLAH RENDAH
Hi!
Hari ini saya akan memberikan beberapa contoh karangan fakta.
Mari kita mulakan.
KARANGAN FAKTA.
TOPIK KARANGAN FAKTA YANG DIBINCANGKAN IALAH:
- KARANGAN FAKTA FAEDAH-FAEDAH MENYERTAI AKTIVITI KOKURIKULUM.
- KARANGAN FAKTA AMALAN GAYA HIDUP SIHAT.
- KARANGAN FAKTA CARA-CARA MENGHARGAI JASA GURU.
- KARANGAN FAKTA CARA-CARA MENGISI MASA LAPANG.
- KARANGAN FAKTA LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN KEMALANGAN JALAN RAYA.
- KARANGAN FAKTA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN INTERNET.
- KARANGAN FAKTA CARA-CARA MEMUPUK PERPADUAN KAUM.
KARANGAN FAKTA FAEDAH-FAEDAH MENYERTAI AKTIVITI KOKURIKULUM.
Aktiviti kokurikulum dijalankan di luar waktu persekolahan. Hal ini kerana guru-guru tidak mahu menganggu waktu pembelajaran murid-murid. Aktiviti kokurikulum dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu persatuan, sukan dan unit beruniform.
Antara faedah yang diperolehi jika menyertai aktiviti kokurikulum ialah ia dapat mengisi masa lapang. Aktiviti kokurikulum juga ialah aktiviti yang berfaedah dan dapat mencergaskan badan. Aktiviti kokurikulum yang berkaitan dengan faedah ini ialah kelab sukan.
Selain itu, aktiviti kokurikulum dapat menambah pengetahuan baharu. Kita juga akan mendapat pengalaman yang baharu bersama rakan. Segala ilmu dan pengalaman ini dapat menjadi pedoman dalam hidup kita.
Aktiviti kokurikulum juga dapat memupuk ciri-ciri kepimpinan dalam diri murid. Ciri-ciri ini dapat digunakan terutamanya ketika membahagikan tugasan. Ciri-ciri ini juga dapat memupuk sifat keberanian.
Seterusnya, kita boleh belajar hidup berdikari. Ilmu ini dapat diperolehi melalui aktiviti perkhemahan. Kita juga boleh menggunakan ilmu ini sekiranya kita sesat di dalam hutan.
Intihannya, ibu bapa perlu memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.
KARANGAN FAKTA AMALAN GAYA HIDUP SIHAT.
Penjagaan kesihatan sangat penting di dalam kehidupan. Dengan ini, kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat.
Antara amalan gaya hidup sihat ialah dengan mengamalkan kebesihan anggota badan. Cara untuk menjaga kebersihan anggota badan adalah dengan mandi dan memakai pakaian yang bersih. Kesannya, tubuh kita akan terhindar daripada penyakit.
Selain itu, kita boleh melakukan aktiviti kecergasan. Sebagai contoh, kita boleh berlari, berjoging dan berbasikal. Senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Seterusnya, kita perlu makan makanan yang seimbang. Makanan yang seimbang perlu mempunyai kandungan sayur-sayuran dan buah-buahan di dalamnya. Cara ini akan menjamin kesihatan kita.
Kemudian, kita juga perlu mengelakkan diri daripada merokok. Tabiat ini akan membahayakan kesihatan diri kita. Tabiat merokok juga akan mendatangkan pelbagai penyakit kronik.
Akhirulkalam, gaya hidup sihat akan menjamin kesihatan yang baik. Kita perlulah mematuhi semua langkah ini supaya kesihatan diri terjamin.
KARANGAN FAKTA CARA-CARA MENGHARGAI JASA GURU.
Guru ialah insan yang mengajar dan mendidik kita. Jasa guru perlu dikenang dan terdapat pelbagai cara untuk menghargai jasa guru.
Antara caranya adalah dengan mematuhi nasihat guru kita. Kita juga perlu mengamalkan segala ajaran guru. Hal ini akan menjadikan ilmu yang kita pelajari lebih berkat.
Selain itu, kita perlu belajar bersungguh-sungguh. Contohnya, kita perlulah menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas. Kesannya, kita akan menjadi insan yang berguna.
Seterusnya, kita tidak boleh bercakap kasar terhadap guru-guru kita. Hal ini kerana kita mungkin akan mengguriskan hati guru-guru. Kesannya, kita akan sukar untuk memahami perkara yang baharu dipelajari.
Akhir sekali, kita juga boleh memberikan cenderahati kepada guru. Cenderamata ini adalah sebagai tanda terima kasih. Kita boleh memberikan hadiah ini pada Hari Guru yang disambut di sekolah.
Intihannya, guru-guru umpama merupakan ibu dan bapa kedua kita di sekolah. Oleh itu, jasa para guru haruslah dikenang untuk selama-lamanya.
KARANGAN FAKTA CARA-CARA MENGISI MASA LAPANG.
"Masa itu emas" bermaksud setiap masa yang kita ada itu berharga dan perlu digunakan dengan sebaiknya. Oleh itu, masa yang terluang perlulah diisi dengan perkara-perkara berfaedah. Terdapat pelbagai cara untuk mengisi masa lapang kita.
Antara caranya adalah dengan membuat kerja sekolah yang telah diberikan oleh guru. Cara ini merupakan cara yang paling terbaik untuk mengisi masa lapang. Kesannya, kita tidak akan dimarahi guru kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
Selain itu, kita juga boleh membaca bahan bacaan pada waktu lapang. Bahan bacaan adalah seperti buku cerita, surat khabar dan lain-lain. Kita juga dapat lebih banyak ilmu pengetahuan apabila kita membaca.
Seterusnya, kita boleh melakukan aktiviti beriadah. Antara aktiviti yang boleh kita lakukan ialah berjoging dan senaman. Aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan kita.
Akhir sekali, kita boleh melakukan hobi yang sesuai. Antara hobi yang boleh dilakukan adalah seperti mengumpul setem daripada pelbagai negara seluruh dunia. Cara ini dapat membuatkan kita mengisi masa lapang dengan baik.
Intihannya, janganlah kita membazir masa yang terluang ini. Hal ini kerana masa yang berlalu tidak boleh dikembalikan lagi.
KARANGAN FAKTA LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN KEMALANGAN JALAN RAYA.
Kadar kemalangan semakin meningkat kerana kecuaian pemandu semasa memandu di jalan raya. Namun begitu, terdapat beberapa langkah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.
Antara langkah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya ialah pihak kerajaan boleh melaksanakan kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini diadakan untuk menegur sikap pemandu yang cuai. Kesannya, pemandu akan lebih berhati-hati di jalan raya.
Selain itu, pemandu juga perlu bertimbang rasa terhadap pemandu lain. Jangan disebabkan oleh tingkah laku kita pemandu yang lain juga menerima padahnya. Cara ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Seterusnya, kita perlu berhati-hati semasa memandu. Kita perlu berhati-hati terutamanya semasa di selekoh tajam. Hal ini akan mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut.
Akhir sekali, kerajaan boleh memberi hukuman tegas kepada pemandu yang cuai. Kerajaan juga perlu mengadakan sistem jalan raya yang lebih baik.
Akhirulkalam, kita perlulah memandu dengan berkhemah. Kita juga perlu prihatin dan bertolak ansur dengan pengguna jalan raya yang lain.
KARANGAN FAKTA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN INTERNET.
Penggunaan Internet semakin meluas di seluruh dunia. Hal ini kerana Internet dapat memudahkan urusan seharian manusia. Namun begitu, Internet juga mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri.
Antara kebaikan Internet ialah kita dapat mencari maklumat dengan mudah dan cepat. Kita hanya perlu menaip di hujung jari sahaja. Hal ini terbukti bahwa internet dapat memudahkan urusan kita.
Selain itu, kita juga mudah membuat urusan perbankan dengan menggunakan internet. Contohnya, kita dapat membayar bil secara atas talian. Kesannya, kita tidak perlu lagi membazir masa untuk beratur di kaunter bank untuk membuat transaksi.
Perlu diingatkan juga, internet mempunyai bahan-bahan yang tidak sesuai untuk mereka yang di bawah umur. Internet juga mempunyai unsur-unsur fitnah dan maklumat palsu.
Kes penipuan di Internet juga bertambah hari demi hari. Antara contoh kes penipuan adalah berkaitan urusan jual beli di Internet. Hal ini berlaku kerana ada sesetengah pihak mahu mengaut keuntungan dengan cara menipu pelanggan mereka.
Akhirulkalam, Internet mempunyai kebaikan dan juga keburukannya. Kita sebagai pengguna perlu bijak semasa menggunakan Internet.
KARANGAN FAKTA CARA-CARA MEMUPUK PERPADUAN KAUM.
Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Perpaduan kaum penting bagi mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni. Terdapat banyak cara untuk memupuk perpaduan kaum.
Antara cara-caranya adalah dengan mengunjungi rumah jiran. Contohnya, kita boleh mengunjungi rumah jiran semasa hari perayaan. Kesannya, kita dapat merapatkan hubungan dengan jiran tetangga.
Selain itu, kita perlu bertegar sapa dengan jiran. Kita juga boleh bersembang tentang isu-isu semasa bersama mereka. Cara ini dapat membantu kita mengetahui khabar jiran kita.
Seterusnya, kita juga boleh meraikan Hari Kemerdekaan bersama kaum dan bangsa yang lain. Sebagai contoh, kita boleh meraikan Hari Kemerdekaan bersama-sama di Stadium Merdeka. Kesannya, kita dapat menanam semangat patriotik dalam diri masing-masing.
Akhir sekali, kita digalakkan mengadakan aktiviti bersama jiran. Aktiviti yang boleh dilakukan bersama adalah seperti aktiviti gotong-royong. Langkah ini akan membolehkan kita bekerjasama dengan kaum yang lain.
Akhirulkalam, terdapat banyak langkah-langkah untuk memupuk perpaduan kaum. Kita perlu mengamalkan langkah-langkah ini untuk mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia.
Semoga info ini memberi manfaat kepada kita semua.
Sekiranya anda mendapati maklumat ini bermanfaat, sila tekan butang 3 garis di homepage dan ikuti blog ini.
Sekian, terima kasih.
APAKAH FAKTA DAN MITOS YANG ANDA BARU TAHU? SILA KOMEN DI BAWAH!









Ulasan
Catat Ulasan