TIPS MENULIS KARANGAN CERITA BESERTA CONTOH KARANGAN CERITA DAN KEPERIHALAN.
Hi!
Hari ini saya akan membincangkan tentang karangan cerita.
Mari kita mulakan dengan jenis soalannya.
KARANGAN CERITA
Karangan cerita atau keperihalan mempunyai beberapa jenis soalan yang boleh keluar dalam peperiksaan seperti soalan:
- Menyambung cerita
-pendahuluan diberi
- Mengakhiri cerita
-penutup diberi
CADANGAN MENULIS KARANGAN CERITA
- Pendahuluan
- Boleh merujuk tajuk yang diberi. Tajuk boleh didapati dalam kata kunci soalan.
- Isi
- Membuat cerita menggunakan pancaindera seperti mata, telinga, mulut, tangan, kaki, dan hidung.
- Penutup
- Perlu mengakhiri cerita tersebut.
TIPS
- Baca tajuk dengan teliti.
- Garis kata kunci.
- Boleh guna Kata Ganti Nama Diri 'Aku', 'Saya' atau 'Kami' di dalam karangan ini.
- Guna bahasa indah.
- Gunakan pengalaman dan pengetahuan sedia ada semasa menulis karangan jenis ini.
TOPIK CERITA YANG AKAN DIBINCANGKAN IALAH:
- CERITA TENTANG AKTIVITI PENDUDUK DI TEMPAT TINGGAL SAYA.
- CERITA TENTANG KASIH SAYANG KAMU TERHADAP KELUARGA.
- CERITA MENYERTAI PERTANDINGAN HOKI.
- CERITA TENTANG SUASANA PERAYAAN.
- CERITA PROGRAM KHIDMAT BANTU DI RUMAH.
- CERITA PENGALAMAN MENGINAP DI SEBUAH RUMAH PANJANG KAUM IBAN.
- CERITA TENTANG LADANG STEVIA
Mari kita lihat contoh-contoh karangan ini.
CERITA TENTANG AKTIVITI PENDUDUK DI TEMPAT TINGGAL SAYA.
Mari kita buat cerita tentang aktiviti penduduk.
Nama tempat tinggal saya ialah Taman Mawar. Penduduk di tempat tinggal saya amat mementingkan perpaduan dan permuafakatan. Antara aktiviti yang dijalankan oleh penduduk di tempat tinggal saya ialah membersihkan kawasan perumahan, beriadah bersama-sama dan banyak lagi.
Aktiviti pertama yang kami lakukan ialah kami bekerjasama membersihkan kawasan perumahan. Kami membersihkan kawasan perumahan bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes. Kami lakukan aktiviti ini sekali dalam sebulan. Kami juga diagihkan tugas supaya kerja pembersihan itu menjadi lebih mudah dan cepat.
Aktiviti kedua pula ialah beriadah bersama-sama pada waktu petang. Encik Wahab, Ketua Ahli Jawatan Kuasa Taman Mawar mengendalikan aktiviti kami di padang. Kami membuat aktiviti ini kerana kami mahu melahirkan generasi yang lebih sihat. Kami menjalankan aktiviti ini pada waktu petang pada hari Isnin sehingga Jumaat. Pada hari Sabtu dan Ahad pula, kami akan membuat aktiviti ini dua kali iaitu pada waktu pagi dan petang.
Pada waktu malam pula, kami menjaga keselamatan penduduk. Aktiviti ini khususnya untuk lelaki sahaja. Kami berbuat begini kerana kami mahu mengurangkan kes jenayah. Kami menjalankan aktiviti ini dengan meronda sekeliling kawasan perumahan kami.
Apabila tibanya hari Sabtu dan Ahad, kami menjalankan perniagaan. Kami mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan menjual kerepek pisang. Keuntungan yang diperoleh daripada jualan kerepek pisang ini boleh disalurkan ke tabung pembinaan Surau Al-Falaq di taman ini.
Kesimpulannya, aktiviti-aktiviti ini membuatkan kami semua bekerjasama dan kami juga dapat merapatkan hubungan dengan penduduk taman yang lain.
CERITA TENTANG KASIH SAYANG KAMU TERHADAP KELUARGA.
Mari kita buat cerita tentang kasih sayang dalam keluarga.
Saya mempunyai keluarga yang bahagia. Semua ahli keluarga saya saling tolong menolong. Bagi saya, ibulah orang yang paling penting dalam hidup saya.
Pada suatu hari, ibu saya jatuh sakit. Ibu disahkan oleh doktor bahawa ibu saya menghidap penyakit yang sukar diubati. Semua ahli keluarga saya berasa sedih apabila mendengar berita itu.
Mulai hari itu, rutin keluarga kami berubah. Pada setiap pagi, saya akan membuat sarapan untuk kami sekeluarga dan memberi ubat kepada ibu saya. Selepas itu, saya pergi ke sekolah bersama adik saya dengan berjalan kaki.
Selepas pulang dari sekolah, saya akan memasak makanan tengah hari untuk ibu,saya dan adik. Selepas makan, saya memberi ibu makan ubat mengikut masa yang telah ditetapkan oleh doktor. Setelah selesai semuanya, saya akan mengemas rumah.
Pada sebelah petang pula, saya akan memandikan ibu saya. Saya gosokkan giginya dan menyabunkan badan ibu saya. Setelah selesai, saya memberikan ibu dan adik saya minum petang dan menyiapkan kerja sekolah saya.
Walaupun ibu saya sakit, namun keluarga saya tetap bahagia. Saya tahu Allah menguji keluarga kami dengan menimpakan penyakit kepada ibu saya. Saya pasti semua yang berlaku mesti ada hikmah disebaliknya.
CERITA MENYERTAI PERTANDINGAN HOKI.
Mari kita buat cerita tentang menyertai perlawanan hoki.
Pada minggu lepas, saya bersama pasukan hoki sekolah telah menyertai satu pertandingan persahabatan dengan pasukan sekolah lain. Sebelum pertandingan bermula, jurulatih pasukan kami telah memberi taklimat tentang keselamatan semasa bermain. Kami mendengar taklimat tersebut dan akur.
Selepas mendengar taklimat, saya pun memakai pakaian yang sesuai untuk mengelakkan kecederaan. Saya diberi tugas menjadi penjaga gawang gol. Cikgu Faizal membantu saya memakai pakaian tersebut. Saya kelihatan begitu segak dan bergaya.
Sekarang, permainan sudah bermula. Saya bersiap-sedia di gawang gol. Saya pun mengatur langkah untuk menangkis semua serangan yang diberikan oleh pihak lawan supaya mereka sukar menjaringkan gol. Saya perlu fokus sepanjang perlawanan ini berlangsung.
Semasa bermain, tiba-tiba ada bola hoki yang dihantar dari pihak lawan ke gawang gol saya. Saya bernasib baik kerana dapat menangkis serangan mwnggunakan pad kaki yang saya pakai. Jika tidak, pasti pihak lawan dapat menjaringkan gol dengan mudah.
Semasa perlawanan berlangsung, ada bola hoki terkena pelindung muka saya. Saya tergamam seketika. Saya bertanya dalam hati, "Eh! Apa yang sudah terjadi?". Dalam keadaan tersebut, saya tidak sangka pihak lawan sudah menjaringkan gol. Tetapi, itu tidak mematahkan semangat saya.
Selama hampir satu jam bermain, kini masa untuk mendapat keputusan daripada perlawanan ini. Sekolah saya dinobatkan sebagai juara. Kami semua bersorak dan gembira atas kemenangan ini.
CERITA TENTANG SUASANA PERAYAAN.
Mari kita buat cerita tentang suasana perayaan.
Pada hari Jumaat yang lalu, umat Islam telah menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kami pulang ke kampung sehari sebelum raya untuk membantu nenek menyiapkan persiapan untuk menyambut hari raya.
Pada malam raya tersebut, Pak Long dan Pak Usu membakar lemang di halaman rumah nenek manakala ayah dan abang menyalakan pelita di sekeliling rumah. Emak dan Mak Usu pula menganyam ketupat di tangga. Semua saudara-mara saya sedang bermain bunga api.
Tibanya pagi 1 Syawal, saya dan ayah pergi ke masjid untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Sebelum pergi ke masjid, kami menjamah kuih sedikit untuk alas perut.
Selepas solat, saya menziarahi kubur datuk yang tidak jauh dari masjid itu. Atuk telah meninggal satu tahun yang lalu. Kami mencabut rumput di sekeliling kubur datuk dan membaca surah Yasin untuk datuk.
Pada hari raya kedua, kami telah berkunjung ke rumah saudara-mara saya. Pelbagai juadah yang disediakan bagi para tetamu yang datang. Antaranya ialah ketupat, rendang, lemang dan kuah kacang yang sungguh enak.
Semua orang gembira meraikan Hari Raya Aidilfitri di rumah nenek tahun ini. Raya tahun ini merupakan raya yang paling ceria dan gembira.
CERITA PROGRAM KHIDMAT BANTU DI RUMAH.
Mari kita buat cerita tentang program khidmat bantu di rumah.
Keluarga Ayu dan Ikmal telah menyertai Program Kebajikan. Program ini diadakan bagi tujuan menyemarakkan semangat sukarelawan dalam kalangan anggota masyarakat. Rombongan mereka telah menjalankan program khidmat bantu di kediaman deorang warga emas di Kampung Matahari.
Kami bersatu hati untuk bantu meringankan beban penderitaan. Perjalanan kami mengambil masa dua jam untuk ke sana. Kami melihat sebuah rumah yang usang sebaik sahaja tiba di lokasi tersebut.
Kami berjumpa dan bersalaman dengan Wan Fatimah di sana. Kami juga menghulurkan sedikit bantuan kepada warga emas itu separti hamper, barang keperluan dan sumbangan wang sebanyak RM 10,000. Tanpa disedari, air mata kegembiraan warga emas itu berjuraian di pipinya.
Selepas itu, kami membaiki rumah warga emas itu yang sudah usang. Kami juga menggantikan atap rumah yang sudah bocor. Seterusnya, kami mengecat atap dan dinding rumah.
Setelah selesai tugas tersebut, kami menyusun barang-barang warga emas itu dengan berhati-hati kerana kebanyakkan barang-barang di dalm rumah itu ialah barang antik. Kami juga membersihkan kawasan sekitar rumah.
Kemudian, kami memunggah semula perabot-perabot Wan Fatimah ke dalam rumah setelah dibersihkan. Akhir sekali, kami mengambil gambar sebagai bukti kami sudah melaksanakan program itu. Kami rasa gembira kerana dapat membantu warga emas itu.
CERITA PENGALAMAN MENGINAP DI SEBUAH RUMAH PANJANG KAUM IBAN.
Mari kita buat cerita tentang pengalaman di rumah panjang.
Pada minggu lepas, saya dan keluarga telah bercuti di Sarawak. Kami menginap di sebuah Rumah Panjang kaum Iban kerana ayah saya ada kenalam di sana. Semasa tiga hari di rumah tersebut, banyak pengalaman saya dapat.
Salah satu bahagian di dalam Rumah Panjang ialah Tanju. Tanju merupakan serambi terbuka untuk menjemur tanaman. Ramai di antara kaum Iban yang merupakan seorang petani. Selepas mereka memetik sayur-sayuran mereka akan menjemurnya di kawasan Tanju ini.
Kami menggunakan tangga yang diperbuat daripada kayu bulat yang ditakik dengan Beliung untuk menaiki Rumah Panjang. Binaan tangga ini sangat unik dan menarik. Namun begitu, kami juga perlu berhati-hati ketika menaikinya.
Selain itu, kami dapati tiang Rumah Panjang diperbuat daripada kayu keras yang tidak mudah reput. Kayu itu dinamakan sebagai kayu Belian. Menurut kenalan ayah saya, tiang itu dapat mengukuhkan struktur Rumah Panjang. Bumbungnya juga diperbuat daripada daun rumbia supaya penghuni Rumah Panjang tidak berasa panas.
Terdapat tiga bahagian di dalam Rumah Panjang iaitu Ruai, Bilik dan Sadau atau Peran. Ruai dijadikan ruang untuk berkumpul manakala Bilik merupakan ruang untuk setiap keluarga asas. Sadau atau Peran pula bahagian atas tempat penyimpanan bijian atau dijadikan tempat tidur bagi anak gadis.
Saya sangat gembira kerana dapat banyak pengalaman dan pengetahuan di sana. Saya juga baru tahu bahawa Rumah Panjang mempunyai uniknya yang tersendiri. Saya dan keluarga berharap agar dapat pergi ke Sarawak lagi.
CERITA TENTANG LADANG STEVIA.
Mari kita buat cerita tentang ladang stevia.
Pada minggu lepas, Zarul telah membawa kawan-kawannya ke ladang stevia milik bapa saudara Zarul. Ladang stevia itu terletak di belakang rumah bapa saudara Zarul. Mereka telah memperolehi pelbagai maklumat di sana.
Mereka telah mendapatkan maklumat tentang pokok stevia. Pokok stevia ialah tumbuhan herba daripada keluarga Matahari. Nama saintifik bagi pokok stevia ialah Stevia Rebaudiana. Antara ciri pokok ini ialah berbatang lembut dan menghasilkan bunga kecil berwarna putih.
Pokok stevia juga boleh dijadikan gula ekstrak. Mula-mula, kita perlu memetik daun pokok stevia. Selepas itu, kita perlu mengeringkan daun tersebut. Kemudian, kisarkan daun stevia yang keeing sehingga menjadi serbuk. Akhir sekali, bancuh serbuk daun stevia ke dalam air suam dan sedia untuk dinikmati.
Antara khasiat daun stevia ialah ia merupakan daun berkhasiat sebagai pemanis, tidak mengandungi kalori dan tidak bertoksik. Selain itu, daun stevia juga membantu mengawal penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi.
Salah satu manfaat stevia kepada manusia ialah sebagai ejen pemanis dalam masakan dan minuman. Selain itu, kesan penggunaan stevia juga membuatkan kita bersemangat untuk melakukan aktiviti harian, sihat dan ceria. Kami berharap agar dapat pergi ke kebun stevia ini lagi pada masa akan datang.
Semoga cerita kali ini memberi idea dan pengetahuan yang baharu kepada kita semua.
Sekiranya anda mendapati maklumat ini bermanfaat, sila tekan butang 3 garis di homepage dan ikuti blog ini.
Sekian, terima kasih.
CERITA APA YANG ANDA SELALU KONGSIKAN DENGAN KELUARGA DAN RAKAN-RAKAN ANDA?


.png)
.png)
.png)
.png)
.png)

Ulasan
Catat Ulasan