JENIS KARANGAN CATATAN BESERTA CONTOH KARANGAN CATATAN
Hi!
Hari ini saya akan membincangkan tentang karangan catatan.
Mari kita mulakan dengan pengenalannya.
CATATAN
- Karangan catatan merupakan karangan berformat.
- Terdapat dua jenis karangan catatan iaitu karangan catatan mingguan dan karangan catatan harian.
Catatan Mingguan
- Ditulis hari dan tarikh berlaku.
- Contohnya: Catatan perkhemahan dan catatan percutian.
- Format:
Hari, tarikh (PERLU DIGARIS)
Selang satu baris
tulis beberapa perenggan
Selang satu baris
Hari kedua, tarikh (PERLU DIGARIS)
(Ulang langkah di atas mengikut hari catatan dibuat.)
Catatan Harian
- Ditulis masa berlaku.
- Contohnya: catatan lawatan, catatan hari guru, dan catatan perayaan.
- Format:
Hari, tarikh (PERLU DIGARIS)
Selang satu baris
Waktu pukul berapa (PERLU DIGARIS)
Selang satu baris
tulis satu perenggan sahaja
(Ulang langkah di atas sehingga tamat program yang dicatatkan.)
TOPIK KARANGAN CATATAN YANG AKAN DIBINCANGKAN IALAH:
- CATATAN TENTANG SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK DI SEKOLAH.
- CATATAN TENTANG SAMBUTAN HARI GURU DI SEKOLAH.
- CATATAN HARI KEJOHANAN SUKAN DI SEKOLAH.
- CATATAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE TEMPAT BERSEJARAH.
- CATATAN PERCUTIAN KE RUMAH RAKAN.
CATATAN TENTANG SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK DI SEKOLAH.
Mari kita buat catatan berkenaan sambutan Hari Kanak-kanak.
Jumaat, 20 Julai 2019.
7.00 pagi.
Semua guru dan murid berkumpul di dewan terbuka sekolah. Murid-murid berbaris mengikut barisan kelas masing-masing. Semua pengawas ditugaskan untuk menjaga disiplin murid semasa program berlangsung.
7.30 pagi.
Ketibaan tetamu jemputan diiringi barisan pentadbir sekolah. Tetamu jemputan ialah Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ahli jawatankuasa PIBG. Semua murid dan guru menyanyikan lagu Negaraku dan lagu sekolah.
8.00 pagi.
Upacara perasmian dimulakan. Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Orkid, Encik Badrul Bin Hussein telah menyampaikan ucapan perasmian sempena Hari Kanak-Kanak. Beliau menyeru agar murid-murid sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan.
8.30 pagi.
Pertandingan pakaian beragam dan pertandingan nyanyian patriotik pada tahun ini disertai oleh 50 orang murid. Barisan hakim diwakili oleh Cikgu Farish, Cikgu Wan dan Cikgu Siti. Murid-murid teruja melihat pertandingan ini berlangsung.
10.30 pagi.
Acara penyampaian hadiah disempurnakan oleh guru besar. Hadiah tersebut telah ditaja oleh Tan Sri Harrith, alumni Sekolah Kebangsaan Taman Orkid. Hadiah yang ditaja itu sungguh lumayan.
11. 30 pagi.
Murid-murid dikehendaki beratur di kantin. Kami mendapat makanan dan minuman percuma hasil sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Semua murid bersurai.
CATATAN TENTANG SAMBUTAN HARI GURU DI SEKOLAH.
Mari kita buat catatan berkenaan sambutan Hari Guru.
Jumaat, 18 Mac 2019.
7.00 pagi.
Semua guru, ibu bapa dan murid-murid berkumpul di dewan terbuka sekolah. Murid-murid berbaris mengikut barisan kelas masing-masing. Semua warga sekolah kelihatan gembira.
7.30 pagi.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Melur memberi ucapan sempena Hari Guru. Murid-murid daripada Tahap 1 dan Tahap 2 membuat persembahan yang sungguh menarik. Para hadirin terhibur dengan persembahan tersebut.
8.30 pagi.
Jamuan ringan disediakan hasil sumbangan daripada ibu dan bapa para pelajar. Sukaneka di antara guru, ibu bapa dan murid juga diadakan dengan jayanya. Semua warga sekolah bergembira pada waktu itu.
9.30 pagi.
Murid-murid dibenarkan memberi cenderamata dan hadiah kepada guru mereka. Cenderamata ini adalah sebagai tanda penghargaan murid atas jasa seorang guru. Guru-guru gembira mendapat hadiah daripada para pelajar mereka.
10.30 pagi.
Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Encik Yaakob memberi ucapan. Beliau berharap agar semua guru dan murid dapat bekerjasama untuk meningkatkan pencapaian akademik.
11.00 pagi.
Guru-guru gembira pulang ke rumah. Majlis telah berjalan dengan lancar. Sambutan Hari Guru Sekolah Kebangsaan Kampung Melur telah selesai diadakan.
CATATAN HARI KEJOHANAN SUKAN DI SEKOLAH.
Mari kita buat catatan berkenaan Hari Kejohanan Sekolah.
Isnin, 4 Februari 2017.
8.00 pagi.
Sekolah Kebangsaan Parit Buntar mengadakan Hari Kejohanan Sukan. Sukan tahunan kali ini diadakan di padang sekolah. Aktiviti ini diadakan setiap tahun.
8.15 pagi.
Khemah rumah sukan telah siap dihiaskan. Begitulah juga dengan khemah untuk peserta, penonton dan ibu bapa. Acara pada tahun ini sungguh meriah.
8.30 pagi.
Antara sukan diadakan dengan lancar sekali. Antara acara yang dipertandingkan ialah larian 100 meter, larian 200 meter dan larian berganti-ganti 4×400. Sukaneka juga diadakan bagi murid tahap satu.
Penonton memberi sorakan dan sokongan kepada para peserta. Penonton juga bertepuk tangan setelah selesainya pertandingan tersebut. Pemenang diberikan pingat mengikut acara yang dimenangi oleh mereka.
11.50 pagi.
Olahragawan dan olahragawati telah dipilih oleh pihak sekolah. Rumah ungu telah memenangi pertandingan kemah tercantik. Hadiah diberikan kepada para pemenang.
Di dalam ucapan guru besar, beliau memuji sikap baik murid yang mengamalkan semangat kesukanan. Guru besar juga mengucapkan tahniah kepada para pemenang. Hari Kejohanan Sukan Sekolah Kebangsaan Parit Buntar telah selesai.
CATATAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE TEMPAT BERSEJARAH.
Mari kita buat catatan berkenaan lawatan sambil belajar. Berikut merupakan contoh catatan harian.
Sabtu, 7 Oktober 2017.
8.00 pagi.
Seramai 40 orang murid yang merupakan ahli Kelab Sejarah Sekolah Kebangsaan Kampung Padi beserta empat orang guru pengiring menaiki bas dan meninggalkan perkarangan sekolah. Bas bergerak menuju ke negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Ini merupakan lawatan kali ketiga bagi kelab ini.
10.00 pagi.
Bas tiba di Air Keroh, Melaka. Tempat pertama yang dilawati adalah Taman Buaya, Taman Mini Malaysia, dan Taman Rama-rama. Kami berehat untuk makan tengah hari di Hutan Lipur Air Keroh.
2.00 petang.
Bas bergerak pergi ke bandar. Kami melawat ke tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Tengkera, Perigi Hang Li Po, dan Makam Hang Jebat. Cikgu Aisyah Lee menerangkan sejarah tempat-tempat tersebut.
3.45 petang.
Destinasi kami yang terakhir ialah Bandar Hilir, Melaka. Kami pergi ke sana untuk melihat Bangunan Stadthyus dan Kota A Famosa. Bukan kami sahaja yang berada di sana, malahan para pelancong yang lain juga turut singgah dan bergambar di tempat bersejarah itu.
5.00 petang.
Guru pengiring membenarkan kami untuk membeli belah pada waktu ini. Kami membeli kraf tangan sebagai cenderamata untuk ibu bapa kami. Harga barangan yang dijual sungguh berpatutan dan mampu milik.
6.00 petang.
Bas kami meninggalkan Bandar Hilir menuju ke Kampung Merah. Bagai sirih pulang ke gagang, kami tiba di sekolah pada jam 10.00 malam. Lawatan ini memberikan banyak ilmu pengetahuan bagi semua murid.
CATATAN PERCUTIAN KE RUMAH RAKAN.
Mari kita buat catatan berkenaan percutian. Berikut merupakan Catatan Mingguan.
Sabtu, 21 Disember 2017.
Saya tiba di stesen bas Muar, Johor selepas duduk di dalam bas selama dua jam. Sekarang sudah pukul 3.00 petang namun rakan lama saya masih belum tiba. Sebaik sahaja saya mahu menghubunginya, dia telah keluar dari Proton Saga ayahnya dan pergi mendapatkan saya.
Suasana di Kampung Meranti sungguh sunyi. Pada malam itu, Adam mempelawa saya untuk pergi ke majlis raja sehari sepupunya. Saya hanya mengiyakan dan mengikuti Adam ke majlis kenduri kahwin itu.
Ahad, 22 Disember 2017.
Haji Mahmod, iaitu ayah kepada Adam membawa saya ke dusunnya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Saya dapat menikmati buah-buahan tempatan seperti rambutan, manggis dan durian. Haji Mahmod sedang sibuk membersihkan dusun sementara saya dan Adam menikmati buah-buahan itu.
Pada pukul 4.00 petang, saya dan Adam bermain layang-layang bersama penduduk kampung yang lain di padang. Saya beraasa sungguh gembira melihat layang-layang yang berwarna-warni itu di udara.
Malam itu, saya berasa hairan kerana ramai orang berkunjung ke rumah Adam. Mereka kelihatan kurang sihat. Lalu, saya bertanya kepada Adam apa sebenarnya yang berlaku. Adli memberitahu bahawa mereka semua mahu menerima rawatan tradisional daripada ayahnya.
Isnin, 23 Disember 2017.
Pada pukul 10.00 pagi, saya pergi memancing ikan di parit bersama Adam. Saya terkejut melihat kereta ibu di parkir di hadapan rumah Adli. Rupanya, datuk saya telah meninggal dunia pada pagi itu. Saya terpaksa menamatkan percutian ini dan mengikuti ibu ke Kelantan.
Semoga info kali ini memberi manfaat kepada kita semua.
Sekiranya anda mendapati maklumat ini bermanfaat, sila tekan butang 3 garis di homepage dan ikuti blog ini.
Sekian, terima kasih.
ADAKAH ANDA SEORANG YANG SELALU MENCATAT PERKARA YANG BERLAKU DALAM KEHIDUPAN ANDA?

.png)

.png)
.png)
.png)

Ulasan
Catat Ulasan